ETNIK DI MALAYSIA

KUMPULAN
ALvin John 
20DKM19F1005

Mathiew Rading
20DKM19F1039

Philip Luhat
20DKM19F1041

Maurice Ngeembang
20DKM19F1051



ETNIK DI MALAYSIA


PENGENALAN

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan, etnik, warna kulit, agama, bahasa kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Ia merupakan satu-satunya negara masyarakat plural yang paling berjaya di alaf baru ini dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan. Masyarakat majmuk mempunyai konsepnya dan sejarah yang tersendiri di Malaysia. Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.


J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.


Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.


Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.


ANALISIS SEJARAH PENDUDUK MALAYSIA

Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).


Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.


Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.


Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.


Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.

Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).


Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).


Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.

Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.



KESERASIAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam tiga fasa utama iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas hampir 50 tahun merdeka.


1.1 Sebelum Merdeka

Pada zaman penjajahan British, pelbagai dasar telah diperkenalkan menyebabkan jurang perbezaan antara etnik di negara ini menjadi amat ketara dalam semua bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan tempat tinggal. Pihak British telah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama menggalakkan kemasukan buruh asing dari negara Cina dan India. Tindakan pihak British secara tidak langsung telah mengubah komposisi kaum di negara ini. Pada zaman penjajahan British, hubungan etnik terpisah dari segi budaya, ekonomi, politik, sosial dan tempat tinggal sehingga perang dunia kedua. Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) pihak British telah melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri berbeza dari segi penempatan dan pekerjaan .


1.2 Selepas Merdeka


Selepas merdeka, wujud kerjasama erat di kalangan etnik di Malaysia. Kerjasama erat juga wujud sebelum dan selepas penubuhan Malaysia. Ancaman-ancaman luar seperti konfrontasi Indonesia telah mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Hubungan yang baik antara etnik mengundang kepada usaha nasional untuk merapatkan hubungan etnik sedia ada dari masa ke semasa. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan telah banyak memberikan implikasi positif kepada perpaduan etnik di negara ini sehingga kini. Penglibatan semua kaum dalam perancangan negara secara tidak langsung membentuk keharmonian sehingga kini. Dari segi politik, orang Melayu diwakili oleh Parti Umno, orang Cina diwakili oleh MCA dan orang india diwakili oleh MIC. Perpaduan etnik telah membentuk Parti Perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri.

1.3 Selepas Hampir 50 Tahun Merdeka

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini, negara mengecapi kemerdekaan mencecah ke usia 52 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi di kalangan etnik berbilang bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat di kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.


2.0 HUBUNGAN ETNIK: PENCAPAIAN SELEPAS HAMPIR 50 TAHUN MERDEKA

Pencapaian negara selepas hampir 50 tahun merdeka sehingga kini jelas memperlihatkan perubahan cemerlang termasuklah dalam memupuk hubungan etnik di negara ini. Hubungan etnik yang baik dan harmoni menjadikan Malaysia cemerlang serta unik di mata dunia. Hubungan etnik dan pencapaian selepas hampir 50 tahun dapat dilihat dalam pelbagai perkara antaranya dalam aspek politik, ekonomi, budaya dan agama.


2.1 Politik

Perlembagaan Malaysia banyak menyumbang kepada perpaduan etnik di negara ini. Melalui perlembagaan Malaysia, ketuanan Melayu selaku penduduk dominan di negara ini terpelihara dan pada masa yang sama kepentingan etnik lain tidak diabaikan sebaliknya wujud toleran untuk mereka hidup aman dan makmur di negara ini. Perlembagaan sentiasa dipinda dari masa ke semasa mengikut kepentingan sejagat dan menyeluruh. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), Tun Mohamed Suffian telah mengariskan ciri-ciri asas perlembagaan Malaysia.


2.2 Ekonomi

Dalam rancangan pembangunan nasional, aspek etnik turut menjadi keutamaan. Pelbagai dasar dan program pembangunan dirangka dan dilaksanakan demi untuk mencapai kemajuan menyeluruh meliputi semua lapisan etnik di negara ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-9, terdapat rancangan lima tahun yang menjadi pemacu kepada misi nasional ke arah mencapai wawasan 2020. Di bawah pemerintahan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Rancangan Malaysia ke-9 merupakan kesinambungan perancangan kerajaan membentuk negara yang maju dari segi ekonomi, seimbang dari segi pembangunan sosial, memiliki masyarakat bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Terdapat lima teras yang menjadi misi nasional yang menyumbang kepada perpaduan etnik di Malaysia.


2.3 Budaya
Dari aspek budaya, wujud kebudayaan nasional yang menjadi asas perkongsian semua etnik tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah. Kebudayaan nasional menjadi asas kepada pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan etnik. Kebudayaan nasional dibentuk berpandukan tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.


2.4 Agama

Perpaduan hubungan etnik dapat dilihat dari aspek keagamaan. Amalan dan sikap toleransi beragama sehingga kini telah memupuk hubungan harmoni di kalangan etnik yang berbilang agama di negara ini. Di Malaysia, umumnya etnik Melayu beragama Islam, etnik Cina beragama Buddha dan etnik India beragama Hindu. Wujud juga beberapa etnik menganut agama Kristian. Agama Islam memberi penekanan kepada aspek keamanan, hubungan baik sesama umat manusia dan kebebasan dalam beragama. Surah Al-Baqarah ayat 256 menyatakan bahawa “Tidak ada paksaan dalam menganut agama, sesungguhnya telah jelas petunjuk itu daripada kesesatan”. Dalam Perlembagaan Malaysia juga dinyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama di kalangan etnik berbilang agama di negara ini.



HUBUNGAN ETNIK DAN CABARAN

Pelbagai usaha dirancang dan dilancarkan demi untuk meneruskan usaha memupuk keharmonian kaum di negara ini. Pelbagai cabaran dihadapi dalam mengekalkan dan memupuk perpaduan etnik. Umumnya, cabaran dibahagikan kepada dua elemen utama iaitu cabaran internal dan external seperti berikut: -

ü Sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri sendiri dan memperjuangkan hak etnik masing-masing serta cuba menidakkan etnik Melayu sebagai bangsa dominan di negara ini memberi cabaran hebat kepada hubungan etnik di negara ini. Tindakan pihak ketiga mencetuskan rasa tidak puas hati semua pihak yang pastinya mengundang kepada perpecahan.

ü Dasar “pecah dan perintah” oleh British memberi implikasi kepada hubungan etnik sehingga kini. Etnik Melayu, Cina dan India terasing dari segi penempatan dan jenis pekerjaan. Hal ini telah menyebabkan interaksi di kalangan etnik amat kurang khususnya yang tinggal dalam wilayah berbeza. Implikasinya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari aspek lokasi berbeza merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia.

ü Sistem pendidikan yang tersendiri memperlihatkan tentang dominasi mengikut kepentingan etnik masing-masing. Pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu. Pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan. Pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar.

Hal ini menyebabkan interaksi antara etnik amat terhad dan interaksi hanya tertumpu dalam kumpulan etnik yang sama. Implikasi bagi hubungan etnik ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Hasilnya, masing-masing cuba mempertahankan bahasa ibunda. Termasuklah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Justeru itu, cabaran wujud dalam usaha membentuk suatu kesatuan sistem pendidikan bersepadu yang sesuai untuk semua etnik. Sistem pendidikan yang berbeza secara tidak langsung memberikan impak yang kurang baik kepada penstrukturan negara. Cabaran dalam aspek pendidikan harus dipandang serius oleh semua pihak kerana jika ini berlarutan akan wujud perasaan kekitaan di kalangan etnik masing-masing.

ü Cabaran dari aspek budaya juga harus diambil kira. Ini kerana bentuk penajajahan baru oleh kuasa-kuasa asing adalah melalui ledakan budaya. Masyarakat berbilang etnik terdedah kepada cara pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Aspek kepercayaan dan agama semakin dipinggirkan memandangkan terlalu memikirkan keseronokkan dunia.

ü Cabaran dari aspek ekonomi. Kepentingan etnik dari sudut ekonomi adalah melalui penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan. Etnik Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Etnik Cina menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Etnik India terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Wujud jurang pendapatan ketara di kalangan etnik. Masing-masing cuba bersaing mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar.

Penguasaan ekonomi yang berbeza dan jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua golongan etnik. Justeru itu, cabaran ini perlu diambil kira dalam menjaga perpaduan di kalangan etnik. Perpaduan di kalangan etnik tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi.
ü Cabaran dari aspek politik. Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik tidak akan mampu menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Semua etnik saling berusaha untuk mengekalkan identiti masing-masing sehingga boleh membawa kepada hilangnya semangat memupuk semangat taat setia kepada negara.


Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan etnik di Malaysia?

Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam ruang yang sama.Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut menyedari adanya perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap mengabaikan perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang perlu diuruskan.Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara.Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut. Malah cadangan pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha untuk membina keserasian antara kaum.Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat peringkat utama iaitu asimilasi budaya, struktur, psikologi dan biologikal. Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan meraikan kepelbagaian etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan.Ia akan membina toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan etnik.Bagi menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati dan memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik sebagai asas bersama. Kegagalan memahaminya akan menyebabkan kita kembali berpolemik.Kajian oleh Nur Atiqah T. Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai Perlembagaan Persekutuan menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada semua etnik masih rendah.Maka tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah berjaya dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan yang rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan menjejaskan kestabilan negara.Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber tertinggi perundangan negara. Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi semangat dan aturan yang termaktub di dalamnya.Satu bangsa Malaysia hanya boleh wujud secara realistik bila keluhuran perlembagaan diterima, dihormati dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.


RUMUSAN

Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah lebih dari 100 tahun berada di bawah kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing dan sehingga kini negara telah mengecapi kemerdekaan hampir mencecah 52 tahun. Penjajahan dan pemerintahan kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun meninggalkan implikasi kepada negara secara tidak langsung. Termasuklah mempengaruhi populasi rakyat Malaysia sehingga kini. Kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dipercayai semakin ketara di zaman pemerintahan British yang menggalakkan migrasi orang-orang Cina dan India ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh pihak British telah memberi kesan yang amat besar kepada penyatuan kaum di negara ini. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha diambil untuk meneruskan agenda nasional dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu. Diantaranya adalah pelaksanaan Wawasan 2020, pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya. Usaha untuk memupuk perhubungan etnik di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak.

Comments